Gila gadgets

iPhone SE 2020 Kini Rasmi Dengan Harga Bermula RM1,999

Bacaan 2 minit

iPhone SE 2020 Kini Rasmi Dengan Harga Bermula RM1,999 – Cip A13 Bionic, Skrin 4.7 inci dan Touch ID

Spekulasi mengenai peranti Apple yang terbaru akhirnya terjawab pabila Apple akhirnya mengumumkan pelancaran iPhone SE 2020 (2nd Gen). iPhone SE 2020 dijana oleh cip A13 Bionic sama seperti yang diguna pada siri iPhone 11 serta memiliki skrin yang lebih besar jika dibandingkan dengan iPhone SE yang terdahulu.

Walaupun iPhone terbaru dari Apple ini menggunakan semula nama iPhone SE, rupa fizikal peranti ini lebih menyerupai iPhone 8. iPhone SE hadir dengan skrin 4.7 inci LCD Retina HD Display yang dilengkapi dengan Touch ID serta mempunyai rekaan kaca dan aluminium.

https://www.youtube.com/watch?v=SQIbeAk-bFA

Kamera utama iPhone SE 2020 ( 2ND Gen) ini hanya mempunyai satu lensa 12MP ( f/1.8 aperture) kamera lebar. Walaupun hadir dengan satu kamera sahaja, pemprosesan imej dan neural engine (3rd Gen) yang ada pada cip A13 Bionic memberi kelebihan kepada kamera untuk menghasilkan imej seperti mod portrait, 6 efek Pencahayaan Potrait dan Depth Control. Manakala kamera hadapan juga hadir dengan satu kamera 7MP (f/2.2 aperture).

Apple tidak memaklumkan secara rasmi saiz RAM dan kapasiti bateri iPhone SE 2020, sebaliknya Apple hanya menyatakan bateri iPhone SE 2020 mempunyai ketahanan bateri setanding dengan bateri iPhone 8 yang berkapasiti 1821 mAh. iPhone SE ini juga turut menyokong pengecasan Qi Wireless dan pengecasan pantas 18W. Untuk mengecas pada kelajuan 18W, pengguna perlu membeli adapter yang dijual berasingan.

Antara spesifikasi lain yang terdapat pada iPhone SE 2020 adalah perlindungan kalis habuk dan air IP67, Wi-Fi 6, Haptic Touch, pembesar suara stereo dan True tone. Tidak seperti iPhone SE generasi pertama, iPhone SE baharu ini tidak dilengkapi bicu audio 3.5mm.

iPhone SE 2020 hadir dalam 3 pilihan warna iaitu Hitam, Putih dan Merah (Product). Di Malaysia, peranti ini dijual pada harga bermula RM1,999 untuk model 64GB, RM2,199 untuk 128GB, dan RM2,699 untuk 256GB.

Sumber: Apple