Google Memperkenalkan Lencana “Teacher Approved” Di Play Store Untuk Aplikasi Mesra Kanak-Kanak
Seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, penggunaan gajet banyak membantu memudahkan urusan harian. Walaupun banyak pihak yang membahaskan isu penggunaan gajet dikalangan kanak-kanak, kita tidak dapat menafikan gajet dapat membantu kanak-kanak dalam urusan pembelajaran mereka.
Memandangkan wabak COVID-19 telah menyebabkan semua sekolah ditutup, Google memutuskan untuk melancarkan Tab Kanak-Kanak (Kids Tab) lebih awal dari yang dirancang. Ibu bapa yang telah mencuba ciri terbaru pada Google Play Store memberi maklum balas yang positif pada pihak Google memandangkan anak-anak mereka yang belajar dirumah banyak menghabiskan masa dengan gajet.

Di dalam Tab Kanak-kanak tersebut, Google turut memperkenalkan lencana “Teacher approved”. Google berkejasama dengan sekumpulan guru dan pakar akademik yang diterajui penasihat utama; Joe Blatt (Harvard Graduate School of Education) dan Dr. Sandra Calvert (Georgetown University).


Aplikasi yang telah dinilai oleh guru dan memenuhi standard kualiti Google akan menerima lencana Teacher approved. Aplikasi dinilai berdasarkan faktor seperti kesesuaian umur, kualiti pengalaman penggunaan aplikasi, dan banyak lagi faktor. Google juga akan meletakkan info pada aplikasi tersebut untuk memudahkan para ibu bapa memilih aplikasi yang bersesuaian dengan anak mereka.
Buat masa ini, aplikasi berlencana “Teacher approved” dilancarkan di Amerika Syarikat dahulu dan akan dilepaskan secara berperingkat kepada negara lain dalam beberapa bulan akan datang.
Sumber: Google